Isnin, 26 Disember 2011

BAHAN KIMIA DALAM KOSMETIK

1| GLISERIN (GLYCERIN)

APA ITU GLISERIN?


Gliserin adalah satu bahan kimia yang paling bernilai diketahui manusia. Gliserin mempunyai 1500 kegunaan, dengan fungsi sebagai bahan ramuan dan bahan bantuan proses di dalam kosmetik, 'toiletries', barangan kegunaan peribadi, ubat-ubatan dan produk makanan. Mempunyai sifat seperti jernih, tidak berbau, pekatan cecair yang mempunyai rasa manis.

Ia juga merupakan cecair yang agak pekat yang boleh membeku jika disejukkan. Ia akan melarut di dalam air atau alkohol tetapi tidak di dalam minyak. Gliserin boleh diperoleh daripada sumber semulajadi (lemak tumbuhan dan haiwan) iaitu semasa penghasilan asid lemak, sabun dan lemak alkohol. Walaubagaimanapun ia boleh dihasilkan secara sintetik daripada petrokimia.

Gliserin digunakan sebagai emollient (agen pelembap) dalam krim pelembap tangan. Antara produk yang menggunakan gliserin sebagai bahan ramuan seperti ubat gigi, krim muka, krim pencukur, produk dandanan rambut dan sabun.

Bagi produk yang dihasilkan di Malaysia kebanyakannya menggunakan gliserin daripada kelapa sawit terutamanya untuk produk makanan dan kosmetik.

KELEBIHAN
» Melembutkan kulit
» Melembapkan kulit
» Selamat
» Sesuai untuk semua peringkat umur dan semua jenis kulit

KELEMAHAN
» Sabun cepat terhakis apabila direndam atau terdedah pada udara


2| METHYLPARABEN

APA ITU METHYLPARABEN?

Methylparaben merupakan sejenis bahan pengawet yang digunakan dalam proses membuat bahan-bahan kosmetik. Ia juga boleh didapati di dalam beberapa bahan makanan yang diproses selain bahan farmaseutikal (ubat-ubatan). Pengawet Methylparaben memang terdapat di dalam kebanyakan produk kecantikan seperti deodoran, syampu, losyen badan serta mandian. Tugas utama ia adalah untuk membunuh dan mengelakkan pertumbuhan kuman.

Methylparaben telah digunakan sebagai pengawet dalam industri kosmetik yang sering terdapat dalam pelembap muka, produk anti-penuaan, pewarna rambut, produk pemutihan kulit, pembersih muka, syampu dan perapi, maskara, pembayang mata dan alas bedak.

KELEBIHAN
» Mencegah pertumbuhan bakteria dan menghindari produk kosmetik daripada berkulat

KELEMAHAN
» Sabun cepat terhakis apabila direndam atau terdedah pada udara
» Bertindak balas dengan UV B hingga boleh mengakibatkan peningkatan kerosakan DNA dan penuaan kulit jika digunakan secara berlebihan



3| SODIUM LAURETH SULPHATE (SLES)


APA ITU SODIUM LAURETH SULPHATE?

Sodium Laureth Sulphate (SLES) banyak terdapat pada produk pencuci muka yang mana bahan ini memberikan kesan buih yang banyak.

KELEBIHAN
» Murah dan merupakan agen pembuih yang sangat efektif

KELEMAHAN
» Mengeringkan kulit
» Membolehkan berlakunya radang kulit terutamanya pada mereka yang berkulit sensitif


4| WANGIAN (FRAGRANCE)



APA ITU WANGIAN?

Hampir setiap produk yang berkaitan dengan wanita mempunyai wangian seperti sabun, barangan kosmetik, syampu, penyembur rambut, dan sebagainya. Tujuan wangian hanyalah untuk menghasilkan bau wangi pada si pemakai, barangan kegunaan peribadi atau udara di sekeliling. Wangian juga menambahkan rasa "bersih" apabila menggunakan produk kebersihan diri terutamanya selepas mandi. Namun, kebanyakan kita tidak menyedari yang ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan teru­tamanya bagi wanita mengandung.

Setiap produk wangian mengandungi bahan kimia wangian sama ada asli atau sintetik dan pelarut yang bertindak sebagai media atau foundation. Peratus kandungan kimia wangian adalah di antara satu hingga 30% dan ini bergantung kepada jenis produk. Namun daripada analisis makmal yang dilakukan didapati sebanyak 95% bahan kimia yang terkandung di dalam produk wangian adalah bahan kimia sintetik daripada jenis petroleum seperti benzena, aldehid dan kimia toksik lain. 

KELEBIHAN
» Memberikan keyakinan kepada si pemakai
» Terasa lebih ceria dan bersih
» Menonjolkan sifat misteri dan romantik

KELEMAHAN
» Memberikan kesan alahan, asma, kanser, kecacatan bayi dalam kandungan, keguguran, penyakit sistem saraf seperti parkinson, alzheimer dan lain-lain
» Memberi kesan keracunan kepada manusia melalui pernafasan dan sentuhan kulit sama ada secara akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang)


Kebaikan Herba-herba dalam Kosmetik

TUTUP BUMI

Nama saintifiknya ialah Elephantopus scaber. Tumbuhan tutup bumi mudah dikenali kerana daunnya berbulu di kedua-dua permukaan dan bergerigi di tepi. Tumbuhan tutup bumi mudah tumbuh di kawasan padang rumput, tepi jalan ataupun di tanah terbuka. Ia bukan sahaja mudah ditemui malah tumbuhan ini sememangnya mempunyai khasiat yang sesuai untuk penjagaan kesihatan diri seperti merawat selesema, sakit tekak, batuk, dan anemia (wanita dan kanak-kanak). Ia juga mampu merawat haid yang tidak teratur serta sering digunakan oleh wanita selepas bersalin kerana kebaikannya yang dapat mengecutkan rahim.
 

LENGKUAS


Tumbuhan yang berumpun dan boleh mencapai ketinggian hingga 2.5 meter. Lengkuas boleh tumbuh di kawasan dataran rendah hingga ke kawasan tanah tinggi sekitar 1200 meter dari paras laut. Ia membiak melalui rizomnya iaitu batang yang tumbuh secara mengufuk di bawah permukaan tanah. Terdapat dua jenis lengkuas, lengkuas yang biasa digunakan dalam masakan selalunya berwarna putih manakala lengkuas untuk ubat mempunyai rizom berwarna merah yang lebih besar. Lengkuas memerlukan tanah yang bersaliran baik dan agak gembur untuk membantu pertumbuhan rizomnya.

Kegunaan:

Lengkuas mempunyai khasiat untuk membersihkan darah, merangsang otot dan mempunyai ciri-ciri afrodisiak. Kerana itu ia banyak dijadikan sebagai salah satu bahan dalam jamu dan ubat atau produk kosmetik untuk menguatkan tenaga. Lengkuas juga dapat digunakan untuk menghangatkan badan. Lengkuas juga dapat meningkatkan tenaga batin, mempermudahkan pengeluaran angin dalam badan, dan mengurangkan masalah senggugut.

HALIA

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale Roscoe merupakan sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan. Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia. Halia dikatakan dapat membantu menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar.
Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.

DAUN KUNYIT

Dalam perubatan, kunyit digunakan sebagai anti-oksidan, anti-bakteria, anti-radang dan anti-kanser. Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka dalam badan, membersih dan menghalang pembekuan darah, melancarkan perjalanan darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan juga kudis.


LIMAU PURUT
Limau purut digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak anti-tumor atau pencegah kanser, limau purut juga berupaya merawat  luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah, selain dapat menghilangkan bau badan.
SERAI WANGI

Pokok ini lazim ditanam untuk kegunaan masakan. Selain penambah perisa, ia mampu menaikkan aroma masakan. Dipercayai daunnya yang ditumbuk lumat apabila dipupuk pada dahi mampu meredakan sakit dan ketegangan kepala. Malah bisa-bisa badan atau sengal sendi-sendi mampu diubati melalui cara itu. Air perahan serai berkesan mengelak gigitan nyamuk apabila disapu pada kulit. Mereka yang tidak lawas membuang air kecil boleh minum air rebusan daun dan akar serai. Malah ia mencegah perut daripada kembung. Pati akarnya boleh digunakan sebagai pewangi untuk syampu rambut serta mewangikan pakaian.