MAHKOTA DEWA: Atasi Penyakit Kulit
Mahkota dewa atau nama saintifiknya Phaleria macrocarpa atau nama lain Phaleria papuana boleh dijumpai di halaman rumah sebagai tanaman hiasan atau juga di kebun-kebun sebagai tanaman peneduh.
Ia dikatakan tumbuh subur di tanah gembur dan subur pada ketinggian 10 hingga 1,200 meter dari paras laut. Pohonnya tumbuh menegak dengan ketinggian satu hingga 2.5 meter. Pokoknya juga boleh mencecah jangka hidup sehingga puluhan tahun.
Bagaimanakah rupanya?
Daun mahkota dewa adalah dari jenis tunggal, letaknya berhadapan, bertangkai pendek, hujung dan pangkal daun runcing, tepinya rata, permukaan daun licin dan daunnya berwarna hijau tua.
Bunganya keluar sepanjang tahun dan letaknya tersebar di batang, berukuran kecil, berwarna putih dan harum.
Buahnya berbentuk bulat dan permukaannya licin. Ketika muda buahnya berwarna hijau dan bertukar merah setelah masak.
Isinya berwarna putih, berserat dan berair.
Bijinya pula berbentuk bulat, keras dan berwarna coklat.
Bahagian yang boleh digunakan pada tanaman ini untuk dijadikan ubat ialah bahagian daun, isi dan kulit buahnya. Daun dan kulit buah boleh digunakan secara segar atau yang telah dikeringkan, sedangkan isi buahnya digunakan setelah dikeringkan. Bijinya pula beracun, dimana buahnya jika dimakan mentah boleh menyebabkan bengkak di mulut, mabuk dan boleh menjadi kejang sehingga pengsan.
Khasiat-khasiatnya
Kulit buah dan isi buah dikatakan boleh digunakan untuk merawat psoriasis dan jerawat. Manakala daun dan bijinya pula dikatakan boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti ekzema dan gatal-gatal.
Kajian juga mengatakan bahawa daun dan kulit mahkota dewa mengandungi alkaloid, saponin, flavonoid dan juga polifenol. Selain itu ia mengandungi zat antihistamin yang diketahui merupakan penyembuh alahan. Ia juga mengandungi khasiat yang menghilangkan gatal dan anti kanser.
Mahkota dewa juga dikatakan mampu merawat demam selesema, reumatisme dan juga kanser rahim peringkat akhir. Walaubagaimanapun, penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh memudaratkan kesihatan diri.
Sumber: Foto (Google)
Norsuraya Desa. (2008). 1001 Misteri Alam. Selangor: Buku Prima Sdn. Bhd.
saya nk tnye. dekat mana nk beli buah atau pokok mahkota dewa ni? saya nk beli sbb nak tanam. tolong jawab
BalasPadam